comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak dibentang Oktober 

 

 

SEREMBAN: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-kanak akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penting untuk mewujudkan akta suruhanjaya kanak-kanak yang bebas, demi kepentingan kira-kira 9.5 juta golongan itu di negara ini.

“Sebenarnya kertas Kabinet itu saya sudah sediakan dan akan bawa pada Kabinet, insya-Allah pada bulan ini ke awal bulan depan dengan harapan kelulusan dari segi dasar dan rangka undang-undang itu dapat dibawa pada sesi Parlimen akan datang.

“Pada masa ini Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) berada di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), tetapi kita perlu mengeluarkannya dan menjadikannya benar-benar bebas.

“SUHAKAM mengendalikan lebih banyak hak asasi manusia tetapi pesuruhjaya kanak-kanak perlu melihat di luar daripada itu khususnya kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Mahkamah Seremban di sini, hari ini.

Sementara itu, Azalina berkata, faktor kekurangan Hakim Mahkamah Sesyen di negara ini turut menyumbang kepada banyak kes jenayah seksual kanak-kanak tidak dapat diselesaikan segera.

Tambahan pula dalam masa sama katanya, Hakim Mahkamah Sesyen perlu menyelesaikan pelbagai kes lain.

“Kajian setakat hari ini terdapat sebanyak 6,791 kes penganiayaan jenayah seksual kanak-kanak di seluruh negara dengan kes tertinggi di Kelantan 1,097 kes.

“Harapan kita, kes jenayah seksual kanak-kanak ini dapat diselesaikan dalam masa 12 bulan, tetapi cabaran atau isunya kadang kala kes ini tidak dapat diteruskan kerana mangsa menarik balik kes dan lain-lain.

“Pihak mahkamah juga berdepan cabaran untuk menyelesaikan kes kanak-kanak disebabkan faktor saksi, penyediaan laporan pakar dan permohonan penangguhan oleh peguam.

“Secara keseluruhan kadar pelupusan kes jenayah seksual kanak-kanak adalah 72.6 peratus,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi menaik taraf 40 Mahkamah Sesyen seperti bilik saksi yang kondusif, alat bantu beri keterangan dan patung anatomi.

Mengenai Akta Imuniti yang bertujuan melindungi negara daripada sebarang kemungkinan tuntutan oleh pihak asing, Azalina memaklumkan dera RUU itu sudah siap dan sedia untuk dibentangkan pada Oktober nanti.

Loading...
Terkini