comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat SPR 28 Jun, bincang tarikh PRK DUN Nenggiri

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri, Kelantan pada 28 Jun ini susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.43 Nenggiri berikutan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim telah hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 13 Jun 2024,” katanya dalam kenyataan lewat petang ini.

Jelasnya, sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka tersebut perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman tersebut.

Ikmalrudin berkata, sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas berkenaan.

Terdahulu, Mohd Amar pada sidang media di pejabatnya, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu, yang memaklumkan hilang keahlian BERSATU dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini