comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Michelle Yeoh jumpa peminat di Kuala Lumpur esok

Michelle Yeoh meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Everything Everywhere All At Once pada Anugerah Akademi (Oscar), Mac lalu. -FOTO: Michelle Yeoh/Instagram

KUALA LUMPUR: Bintang Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95, Tan Sri Michelle Yeoh bakal meraikan kejayaan di pentas berprestij itu bersama peminat di Pavilion Kuala Lumpur, petang esok.

Majlis istimewa yang julung kali bakal diadakan itu diberi nama, Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet dengan dilengkapi hamparan karpet merah terpanjang bagi meraikan bintang filem Everything Everywhere All At Once.

Sehubungan itu, peminat dipelawa menghadiri majlis yang bakal berlangsung di ruang legar utama pusat beli-belah terbabit, bermula jam 4 petang. Majlis itu dirancang bagi membolehkan Yeoh berkongsi kegembiraan dan meraikan kejayaan bersama peminatnya di Malaysia.

Michelle Yeoh, 61 yang merupakan anak jati Ipoh, Perak, mula mencipta nama menerusi filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an.

Michelle Yeoh berkongsi foto ibunya, Janet memegang trofi Oscar menerusi hantaran Instagram, minggu lalu. -FOTO: Michelle Yeoh/Instagram

Minggu lalu, Yeoh dilaporkan sudah kembali ke Malaysia dan menunjukkan kepada ibunya, Datin Janet Yeoh, 84, trofi Oscar dimenanginya itu dan turut membawa trofi itu ke pusara bapanya, mendiang Datuk Yeoh Kian Teik.

Yeoh wajib pulang ke tanah air bagi menyambut ulang tahun ibunya, Janet dan sangat gembira berkongsi trofi itu dengan insan tersayang yang disifatkan tunjang terpenting kejayaannya sehingga sekarang.

Pada edisi ke-95 Oscar, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Terdahulu, menerusi watak Evelyn Quah Wang, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.

Loading...
Terkini