comscore
Tumpuan :
Nasional

Misi Gaza Freedom Flotilla ditangguhkan, peserta dinasihat pulang – Ann Wright

FOTO: MyCare / Facebook

ISTANBUL: Suasana hiba menyelubungi dewan makan Hotel Tugra di sini selepas semua peserta Freedom Flotilla Coalition (FFC) dinasihatkan untuk pulang ke negara masing-masing.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright dalam pertemuan bersama semua delegasi di Fatih, Istanbul pada petang Jumaat.

Menurut Wright, tindakan itu diambil selepas Republik Guinea Bissau menarik semula kebenaran menggunakan bendera mereka di atas kapal utama Akdeniz (Mediterranean).

“Kami telah putuskan adalah terbaik untuk kami katakan, pendaftaran bendera baru ke atas kapal tidak akan dapat diperoleh dalam masa terdekat.”

“Dukacita juga kami terpaksa meminta semua peserta pulang,” katanya.

Pada Khamis, FFC dalam satu kenyataan menyatakan Israel memberi tekanan kepada Republik Guinea Bissau supaya menarik balik pendaftaran atau lesen daripada kapal utama itu.

Ini menurut FFC, mencetuskan satu permintaan untuk pemeriksaan tambahan dari negara kapal itu didaftarkan hingga menyebabkan pelayarannya semalam (26 April) tertangguh.

Penundaan kali ketiga ini memberi kesan yang cukup mendalam dengan suara tangisan memecah keheningan di dewan makan hotel.

Tindakan negara republik itu yang akur dengan kehendak Israel memberi implikasi yang cukup mendalam mengakibatkan kapal penumpang Akdeniz tidak boleh memulakan pelayaran kerana mengikut undang-undang, setiap kapal yang memasuki perairan antarabangsa perlu mengibarkan bendera negara kapal itu didaftarkan sepanjang pelayaran.

Sebelum ini, kapal kargo yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kapasiti 5,000 tan yang didaftarkan dengan negara yang sama juga menghadapi perkara sama dan terpaksa pulang semula ke pelabuhan di Turkiye.

Wright juga memaklumkan, semua delegasi yang terlibat akan dipanggil semula dan akan diletakkan dalam senarai utama untuk mengikuti pelayaran flotilla kali kedua nanti.

Ketika ini, terdapat 18 warga Malaysia menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki flotila untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Datuk Seri Dr Kamal Nasaruddin Mustapha dalam sidang media sebelum ini berkata 18 warga Malaysia itu terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu.

Mengikut jadual asal, tarikh mula pelayaran itu ialah pada 21 April sebelum ditunda dua kali kepada 24 April dan 26 April.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini