comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Misteri bau busuk di hotel terjawab

 

KOTA BHARU: Disangkakan bau bangkai haiwan, rupa-rupanya mayat manusia!

Tanda tanya bau busuk dari kawasan meletak kenderaan di sebuah hotel terbiar akhirnya terjawab dengan penemuan mayat dipercayai seorang lelaki.

Kejadian ini disedari seorang kakitangan hotel yang melakukan pemantauan di lokasi berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi.

Dia yang enggan dikenali berkata, bau busuk sudah kerap dihidu memandangkan hotel terbabit sudah tidak beroperasi sejak tiga tahun lalu dan kini dalam proses membuka semula premis berkenaan.

“Ketika sedang membuat pemantauan, saya terhidu bau busuk dari aras bawah dan menyangkakan ia bau bangkai haiwan kerana banyak yang mati kerana hotel ini sudah lama tidak beroperasi.

Foto : NSTP

“Bagaimanapun saya cuba mencari arah bau busuk terbabit dan ternampak mayat seorang lelaki berpakaian lengkap di satu penjuru sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Saksi berkata, walaupun hotel itu tidak beroperasi, pemantauan tetap dijalankan termasuk kerja mengepam air di aras bawah yang dilakukan sebulan sekali.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat dibawa menggunakan kenderaan polis jam 6.20 petang untuk proses bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Operasi mengeluarkan mayat itu turut dibantu 10 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu yang menyediakan dua pam.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, seramai 10 anggota dikerahkan ke lokasi untuk menyedut keluar air sedalam 0.4 meter.

“Kerja mengepam keluar air menggunakan dua pam dan operasi berjalan selama tiga jam sebelum air sedikit surut dan kerja mengangkat mayat dibuat pihak polis,” katanya.

Loading...
Terkini