comscore
Tumpuan :
Nasional

MKN Kesan Peningkatan Ancaman Serangan Siber

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati berlakunya peningkatan ancaman serangan siber (APT) dengan beberapa segmen penting rangkaian organisasi terus menjadi sasaran.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), Zamri Misman, berkata ia dikesan berdasarkan peningkatan kempen menggunakan teknik ‘phishing’ untuk mendapatkan laluan kemasukan ke terminal sasaran.

“Sejumlah siri kempen dikesan sepanjang tahun ini dan dipercayai dilancarkan oleh kumpulan ancaman, yang dikaitkan dengan negara tertentu.

“Melihat kepada ciri-ciri kumpulan APT ini, ancaman terhadap rangkaian organisasi dijangka berlaku berterusan, selari perkembangan geopolitik semasa negara.

“Justeru, setiap organisasi kerajaan dan swasta perlu mengukuhkan pertahanan keselamatan rangkaian secara konsisten.

“Ini bagi memastikan ancaman tidak mengganggu perjalanan operasi sistem rangkaian atau menyebabkan pencemaran dan kebocoran maklumat negara serta organisasi,” katanya.

Beliau berucap pada penutup Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT Malaysia (ICTSO) 2022 anjuran Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di sini, hari ini.

Zamri berkata, pembinaan kapasiti dan latihan berterusan oleh organisasi perlu diberikan dengan keutamaan bagi meningkatkan kemahiran dan kemampuan pegawai keselamatan ICT.
“Kemahiran pegawai keselamatan ICT dalam menggerak dan memacu keselamatan siber dan pendigitalan negara amat penting.

Oleh yang demikian, pembinaan kapasiti dan latihan berterusan perlu diberikan keutamaan.

“Tanpa dokongan, sokongan dan minat pucuk pimpinan organisasi terhadap kesedaran keselamatan siber, akan mengakibatkan organisasi kita lebih mudah menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan terhadap penerimagunaan digital perlu dipertingkatkan untuk mempercepatkan transformasi digital serta menambah baik keselamatan siber di negara ini.

Selain itu, katanya, Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 memperlihatkan betapa pentingnya kedudukan keselamatan siber dan teknologi.

“Ia merentas semua sembilan nilai teras keselamatan negara iaitu kedaulatan dan keutuhan wilayah, kestabilan sosiopolitik, kesepaduan nasional, tadbir urus baik, keutuhan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan rakyat dan pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Beliau menegaskan, pegawai keselamatan ICT perlu bersedia dengan teknologi dan cabaran semasa termasuk teknologiblockchain dan Distributed Ledger Technology (DLT).

“Dunia maya metaverse perlu diberi perhatian dan dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia akan membentuk persekitaran baharu komprehensif yang bakal mengubah kehidupan seharian manusia.

“Semua pegawai keselamatan ICT perlu faham dengan mendalam mengenai blockchain, DLT dan metaverse.

“Mereka bertanggungjawab memaklumkan dan meyakinkan pucuk pimpinan tertinggi organisasi untuk sama-sama prihatin dan memanfaatkan teknologi dan dunia baharu ini.

“Jika kita terlewat, standard penyampaian perkhidmatan akan tertinggal dan rakyat akan menyalahkan kerajaan kerana kegagalan pegawai ini bertindak proaktif, dengan teknologi dan dunia baharu,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini