comscore
Tumpuan :
Nasional

MOSTI tambah baik kaedah pembelajaran STI untuk golongan murid OKU

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berusaha mencari kaedah pembelajaran yang sesuai untuk menarik minat golongan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), mempelajari aliran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Ujar Menterinya, Chang Lih Kang, langkah selari dengan sokongan MOSTI terhadap Dasar OKU yang memberi hak dan peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan itu menerima pendidikan sepanjang hayat dalam bidang STI.

“Mereka (OKU) perlu diberi peluang yang sama, mungkin pendekatan itu perlu berbeza sedikit kerana mereka ada kelainan, misalnya kaedah yang kita pamerkan dan program yang kita persembahkan mungkin ada sedikit penyesuaian,” katanya pada Hari Istimewa Sains 2023 di Pusat Sains Negara (PSN), ibu negara.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha bahagian Perancangan dan Pembudayaan Sains MOSTI, Ruziah Shafei dan Pengarah Pusat Sains Negara Mismah Jimbun.

Chang turut membuka ruang kepada pakar dalam bidang berkenaan untuk memberikan pandangan mengenai menambah baik kaedah pembelajaran dalam STI kepada golongan OKU.

Mengulas Hari Istimewa Sains yang diadakan dengan tema ‘Eksplorasi Citra Alam’, beliau menzahirkan rasa gembira ianya mendapat sambutan lebih 1,000 peserta kanak-kanak OKU.

Program diadakan dua hari, menyediakan aktiviti seperti kreatif hands-on, demonstrasi sains, persembahan anak-anak OKU, bengkel permainan sensori dan ekplorasi alam.

Hari Istimewa Sains merupakan program yang disambut setiap tahun oleh PSN bagi menggalakkan penglibatan golongan OKU dalam menerokai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi aktiviti berkonsepkan bermain sambil belajar melalui deria (penglihatan, sentuhan, bau, rasa dan pendengaran).

Loading...
Terkini