comscore
Tumpuan :
Nasional

MOT akan kaji semula denda ringan terhadap kes pemandu bawah umur

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (dari kiri) bersama Ketua Setiausaha Datuk Jana Santhiran Muniayan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC) Datuk Azhar Ahmad semasa melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) pada majlis Sinaran Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini. – FOTO : NSTP

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melakukan semakan semula hukuman denda terhadap pemandu bawah umur seperti yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain itu semua seksyen di bawah akta itu juga wajar disemak semula dari pelbagai aspek.

“Terdapat undang-undang sedia ada, apa pun denda yang dibenarkan di bawah undang-undang semasa, itulah denda maksimum yang boleh dikenakan tetapi dalam konteks undang-undang kami akan menyemak semula dari semasa ke semasa,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini,.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hukuman denda yang diperuntukkan di bawah Seksyen 26(2) APJ yang dikatakan terlalu ringan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda minimum RM300 sehingga RM2,000 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Antara kejadian membabitkan pemandu bawah umur termasuk kes terbaharu yang berlaku Ahad lepas di Pulau Pinang apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan memandu kereta milik ibunya sebelum terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan dua kematian di atas Jambatan Pulau
Pinang.

Ditanya jika tindakan akan diambil terhadap ibu bapa pemandu di bawah umur dalam kejadian berkenaan, beliau berkata pihaknya tidak dapat bertindak melebihi undang-undang sedia ada.

“Mana-mana peruntukan undang-undang yang kami boleh gunakan, adalah di bawah akta semasa.

“Kami tidak boleh melangkauinya. Jadi, apabila kami melakukan semakan semula, sudah tentu kami akan melihat aspek lain yang perlu dimasukkan ke dalam undang-undang,” katanya.

Loading...
Terkini