comscore
Tumpuan :
Nasional

MOT tambah baik pendaftaran VEP dalam talian, minimumkan urusan di kaunter

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pembatalan pendaftaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) boleh dibuat secara dalam talian, selain VEP yang telah tamat tempoh iaitu mencapai lima tahun dari tarikh pendaftaran akan dibatalkan secara automatik.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, itu antara penambahbaikan utama yang telah diperkenalkan bagi memastikan proses pendaftaran VEP berjalan lancar.

“Fungsi-fungsi baharu ini telah dilaksanakan dalam portal VEP mulai 28 Jun 2024 dan akan meminimumkan keperluan untuk berurus secara emel atau di kaunter,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Selain itu, turut dilaksanakan ialah pembaharuan VEP boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu menunggu tag VEP sedia ada tamat tempoh serta notifikasi akan dihantar kepada pemilik kenderaan 60 hari, 30 hari dan 10 hari sebelum tamat tarikh tempoh VEP.

Pada 28 Mei lalu, Anthony mengumumkan Peraturan VEP asing di sempadan darat Malaysia-Singapura dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Oktober ini bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya.

Mengulas lanjut, tambahnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga telah menambah anggota untuk mengurus pertanyaan e-mel dari lima orang kepada 15 orang dan pertambahan staf dari tujuh kepada 12 orang di VEP Collection Centre.

“Ini akan bantu percepatkan proses menjawab sebarang pertanyaan melalui e-mel atau di kaunter yang telah meningkat berlipat ganda sejak pengumuman penguatkuasaan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, ujarnya, lebih banyak penambahbaikan akan dilaksanakan termasuk pengenalan Open Toll Payment System (OPS) yang akan membolehkan penggunaan kad kredit dan debit sebagai pilihan tambahan kepada Touch N’ Go untuk pembayaran Road Charge.

Beliau berkata, fungsi OPS boleh digunakan mulai 1 Ogos depan, namun pengguna boleh memuat turun aplikasi MDGS melalui Google Play Store atau Apple App Store untuk menyesuaikan dan memahami fungsi aplikasi tersebut.

Bagi tempoh 28 Mei hingga 29 Jun lalu, sebanyak 23,649 permohonan VEP diterima, melebihi permohonan untuk keseluruhan tahun lalu.

Anthony berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak 6,120 tag VEP telah dikeluarkan kepada pemohon, manakala 1,080 tag VEP telah diaktifkan.

“Penerima diingatkan untuk mengaktifkan tag VEP dengan memuat naik gambar nombor pendaftaran kenderaan bersama tag VEP yang telah dilekat di https://vepams.jpj.gov.my selepas menerima tag VEP tersebut. Tag VEP tidak sah sekiranya tidak diaktifkan.

“Saya juga ingin memaklumkan permohonan untuk mendapatkan VEP masih boleh dibuat selepas tarikh penguatkuasaan pada 1 Oktober depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini