comscore
Tumpuan :
Nasional

MOTAC Tetap Sasaran Ketibaan Pelancong 9.2 Juta Orang Tahun Ini

Datuk Seri Nancy Shukri. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan sasaran baharu ketibaan pelancong 9.2 juta orang dengan pendapatan hasil pelancongan sebanyak RM26.8 bilion pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia selepas negara hampir melepasi sasaran ditetapkan iaitu 3.21 juta ketibaan pelancong dan RM9.35 bilion pendapatan pelancongan direkodkan sejak Januari hingga Julai lalu, berbanding sasaran ditetapkan iaitu 4.5 juta ketibaan pelancong dengan RM11.1 bilion bagi hasil pelancongan.

“Pencapaian ini hanya boleh dilakukan dengan inisiatif dan insentif yang giat, termasuk membawa masuk delegasi antarabangsa melalui acara perniagaan ke negara kita sejak pembukaan semula sempadan dan pelonggaran sekatan bagi kemasukan pelawat,” katanya pada majlis 7th Meet in Malaysia @ Malaysia Business Events Week 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Datuk Seri Abdul Khani Daud dan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi.

Beliau berkata, berdasarkan kajian disokong pengalaman antarabangsa, pengunjung acara perniagaan berbelanja tiga kali lebih tinggi daripada purata pelancong dan mempunyai kesan pengganda yang besar.

“Kira-kira 40 peratus daripada mereka melancong bersama pasangan dan 60 peratus daripada mereka akan kembali semula sebagai pelancong,” katanya.

Justeru, Nancy berkata, dengan tema ‘Membentuk Semula Acara Perniagaan’ acara hari ini amat tepat pada masanya kerana MOTAC memberi tumpuan dan terus mengukuhkan kedudukan nilai Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan.

“Ini bermakna menggerakkan bakat, kepakaran, rangkaian industri dan sumber teknologi serta inovasi untuk menyediakan penyelesaian kreatif, di dalam dan di luar ekosistem acara perniagaan.

“Teknologi akan menjadi pemboleh utama dan kerjasama adalah penting untuk mempercepat pemulihan serta membina industri yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini