comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Muhyiddin dibebaskan daripada pertuduhan menerima suapan RM232.5 juta

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini melepas dan membebaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu berkaitan projek Jana Wibawa.

Berdasarkan pertuduhan asal, bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti BERSATU.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Jelas Muhammad Jamil, mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan serta menggantung pertuduhan secara kekal.

Hakim itu berkata empat pertuduhan terhadap Muhyiddin yang menyatakan suapan bagi sekutunya BERSATU tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

“Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

“Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.

Mengikut rekod, Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu.

Selain empat pertuduhan itu, Muhyiddin masih berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

13 Mac lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Selanjutnya: Saya tahu ia hanyalah pertuduhan bersifat politik – Muhyiddin

Loading...
Terkini