comscore
Tumpuan :
Nasional

Muhyiddin gesa kerajaan henti siasatan, pendakwaan terpilih berkait isu 3R

Tan Sri Muhyiddin Yassin. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menghentikan siasatan dan pendakwaan terpilih ke atas pemimpin pembangkang yang didakwa menyentuh isu berkait 3R (agama, kaum dan raja) untuk menutup mulut rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sendiri disiasat berkali-kali oleh polis selain berhadapan dengan pendakwaan jenayah kerana menyuarakan keresahan orang Melayu dan Islam.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau mendakwa adalah tidak adil layanan diterimanya dan rakan pembangkang lain memandangkan pemimpin daripada blok kerajaan tidak pula dikenakan tindakan sama walaupun menyentuh isu berkait 3R.

“Apa yang penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang bertamadun ialah kemampuan pemimpin mengotakan janji-janjinya, berpegang teguh pada prinsip integriti dan amanah, cekap mengurus ekonomi dan prihatin terhadap kebajikan rakyat serta benar-benar adil dan saksama kepada semua.

“Berteraskan prinsip ini, saya menggesa kerajaan supaya menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan 3R semata-mata untuk menutup mulut rakyat atau dengan izin ‘to silent dissent’.

“Tetapi pemimpin di sebelah sana yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan jahat yang jelas mengapikan sentimen perkauman langsung tidak disentuh walaupun puluhan malah ratusan laporan polis dibuat ke atas mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas agenda Bumiputera di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin mempersoal hala tuju dan pendekatan baharu yang sedang dirangka serta bakal dilaksanakan Putrajaya.

Ini kerana beliau mengakui tidak jelas dengan perancangan kerajaan untuk memperkasa agenda Bumiputera kerana hanya mengumumkan untuk mengadakan kongres ekonomi Bumiputera pada Januari tahun depan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu untuk kumpulan itu.

“Namun apakah agenda Bumiputera yang adil, saksama dan inklusif yang dimaksudkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim)? Ini tidak dijelaskan.

“Adakah hala tuju baharu itu kelak benar-benar memenuhi tuntutan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan realiti semasa masyarakat Bumiputera atau akan berlaku perubahan dasar yang drastik terhadap sasaran kedudukan ekonomi Bumiputera?” soal Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menyarankan daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera mesti dipertingkatkan untuk mencapai sasaran 15 peratus sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Selain itu, beliau juga bimbang dengan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera kerana masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Pada 2020, pegangan Bumiputera hanya 18.4 peratus. Maka sasaran 30 peratus ini tidak realistik untuk dicapai dalam tempoh dua tahun berdasarkan pertumbuhan kadar peningkatan ekuiti korporat Bumiputera kini agak perlahan.

“Mengenai status Kajian Impak Agensi-Agensi Bermandat Bumiputera yang siap pada 2022, oleh kerana kajian ini penting bagi menilai keberkesanan objektif dan hala tuju pencapai Bumiputera, maka saya menggesa agar kerajaan telus dan proaktif dalam memastikan hasil kajian ini diberikan perhatian dan dilaksanakan segera,” katanya.

Loading...
Terkini