comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mungkin perlu pinda undang-undang selesai isu ‘Parallel Pathway’ – Fahmi


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Beberapa pindaan undang-undang sedia ada mungkin akan dibuat bagi menyelesaikan isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah memberikan maklum balas mengenai perkara berkenaan dengan Jabatan Peguam Negara turut memberi pandangan dari segi aspek perundangan.

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada dan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri insya-Allah minggu depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

“Jadi belum diputuskan (isu Parallel Pathway) tetapi ada perkembangan dan kertas (Kabinet) yang dimaksudkan akan dibawa minggu depan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ditanya apa undang-undang akan dipinda bagi menyelesaikan isu berkenaan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu masih belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan perlu menunggu pembentangan kertas Kabinet minggu depan.

Pada 2 April lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 mengenai program ‘Parallel Pathway’.

Langkah itu bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program itu dengan jayanya, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan di negara ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, seperti yang dijelaskan Zambry, terdapat salah faham dalam kalangan ramai membabitkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera.

Katanya, beberapa pihak termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bekas Naib Canselornya sudah diberikan penjelasan berhubung perkara itu.

“Ada sedikit salah faham dalam khalayak umum kerana dimaklumkan sebelum ini bukan untuk membuka bagi tujuan pendidikan tetapi bagi ‘housemanship’ di Hospital UiTM.

“Itu yang dimaksudkan dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kerana apabila isu itu dibangkitkan, ia seolah-olah ada kaitan tetapi sebenarnya perkara berbeza,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Dilaporkan sebelum ini, UiTM menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘Parallel Pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Cadangan itu menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa UiTM dan alumni kerana menegaskan universiti itu hanya untuk Bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Zambry berkata, buat masa ini tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM di peringkat kementerian mahu pun Kabinet.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini