comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Murid diserang strok haba: Perkara ini dalam pengawasan rapi kami – KPM

 


KUALA LUMPUR: Susulan kes murid Tahun Lima yang diserang strok haba selepas didenda berdiri di bawah matahari terik Isnin lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) beri jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah.

“Perkara ini dalam pengawasan rapi kami. Kes ini kini dalam siasatan pihak berkuasa.

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan siasatan pihak berkuasa.

“KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah.

“Justeru, pihak sekolah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan pengurusan pelajar semasa yang berkuat kuasa,” katanya.


Pada Rabu lalu, ibu kanak-kanak itu, AD Mogahana Selvi, 35, berkata Hospital Ampang sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat masalah kesihatan dialami.

Difahamkan kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba kesan berjemur selama tiga jam di tengah padang di bawah terik cahaya matahari.

Moganaha juga mengatakan anaknya itu tidak lagi berkelakuan seperti biasa dan banyak menyorok dan bercakap seorang diri.

Susulan masalah dialaminya itu, keluarga berkenaan akan memfailkan saman sivil.

Pada Isnin lalu, kanak-kanak itu dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas dipaksa berdiri di bawah sinar matahari dari 10 pagi hingga 12.50 tengah hari.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata pihaknya sudah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini