comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid Darjah 5 masuk hospital sebab didenda berjemur oleh cikgu

Murid Darjah 5 dikejarkan ke Hospital Ampang pada awal Mei lalu, selepas didakwa didenda berjemur di padang sebuah sekolah di Ampang Jaya pada 30 April lalu.

AMPANG JAYA: Seorang murid Darjah 5 dikejarkan ke hospital selepas didakwa didenda cikgu berjemur di padang sekolah di sini, pada 30 April lalu.

Ibu murid itu dikenali sebagai Mogahana, 35, berkata anak lelakinya itu memaklumkan kepadanya bahawa dia serta rakannya didenda oleh seorang cikgu dengan berjemur di padang sekolah dari jam 10 pagi hingga 12.50 tengah hari pada hari kejadian.

“Anak maklumkan kepada saya bahawa dia ada membuat aduan kepada cikgu itu kerana ada murid lain memukulnya.

“Tetapi cikgu itu mengambil tindakan mendenda anak saya supaya berjemur di padang sekolah.

“Anak saya ada mengadu pening kepala kepada cikgu berkenaan (semasa dijemur) tetapi aduan itu tidak diendahkannya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Mogahana, selepas dia mengambil anaknya pulang dari sekolah pada hari kejadian, anaknya itu kelihatan lemah dan tidak ada selera makan.

“Malah, dia minta saya hantarnya ke hospital kerana merasa sakit. Sebaik tiba di Hospital Ampang, dia terus pengsan.

“Doktor yang merawatnya kemudian memaklumkan dia mengalami ‘heat exhaustion’,” katanya yang turut memuat naik rakaman video menceritakan mengenai perkara itu di Facebook, Khamis lalu.

Mogahana yang juga suri rumah berkata, beliau kesal dengan tindakan cikgu lelaki berkenaan yang mengenakan denda sedemikian sehingga kesihatan anaknya terjejas.

“Saya tidak puas hati dengan tindakan dan penjelasan diberikan oleh cikgu berkenaan dalam hal ini bukan kerana anak saya tidak boleh didenda tetapi ia keterlaluan sehingga memudaratkan kesihatan anak.

“Justeru, saya minta pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperhalusi mengenai denda atau hukuman dikenakan cikgu terhadap murid-murid,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat ibu mangsa berhubung kejadian terbabit pada 30 April lalu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami ‘heat exhaustion’.

“Siasatan mendapati guru sekolah terbabit berusia 37 tahun memberi hukuman denda berdiri terhadap mangsa bersama tiga rakannya yang lain selama 10 minit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kami mendapati terdapat sebuah video tular di media sosial membabitkan ibu mangsa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan tidak puas hati dengan cara pengendalian kes terbabit.”

“Bagaimanapun, tiada aduan rasmi diterima daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu setakat ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini