comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid ditimpa tangki pam tandas masih trauma

IPOH: Murid perempuan Tahun Tiga yang cedera ditimpa tangki pam tandas ketika menggunakannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan di sini, Selasa lalu, masih dalam keadaan trauma.

Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, berkata sehingga kini dia terpaksa meminta rakan di sekolah untuk menemaninya ketika pergi ke tandas kerana bimbang kemalangan sama berulang.

Artikel berkaitan: Murid tahun tiga cedera dihempap tangki pam tandas

“Ketika saya masuk ke tandas tidak nampak seperti pam itu rosak tetapi secara tiba-tiba ia jatuh dan terkena kepala saya.”Sekarang saya takut untuk pergi ke tandas di sekolah sebab takut terjadi lagi,” katanya ketika ditemui pemberita ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad bersama pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun di sekolah itu, hari ini.

Lawatan itu turut disertai Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinta, Jabatan Pendidikan negeri serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru.Ibu murid itu, Nor Azizawati Ismail, 37, berkata satu laporan polis dibuat di Balai Polis Tambun pada 7 malam semalam mengenai kejadian dan keselamatan anak keempat daripada lima beradik berkenaan.

“Apabila menerima panggilan mengenai perkara menimpa Nur Alisha Adawiyah, saya segera mendapatkannya dan melihat dia menangis lalu membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan.

“Dia mengalami bengkak pada kiri kepala dan berasa sakit sehingga sekarang. Jadi, diharapkan tiada murid lain yang terkena lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Arafat Varisai yang juga ADUN di bawah Parlimen Tambun berkata, sesi kaunseling akan diberikan oleh Kementerian Pendidikan kepada murid itu dalam masa terdekat.

Katanya, semua tandas murid di sekolah itu ditutup buat sementara dan mereka hanya dibenarkan menggunakan lapan tandas guru yang berada di sekitar bangunan sekolah.

“Saya sudah berhubung dengan pihak kementerian dan beberapa perkara akan dilakukan termasuk skim insurans berhubung insiden ini. Pusat Khidmat Parlimen dan DUN juga menyampaikan sumbangan hari ini.

“Saya telah berbincang dengan JKR dan mereka mencadangkan untuk melakukan pemasangan pendakap pada tangki pam tandas seramik sedia ada supaya selamat digunakan namun perbincangan lanjut akan dibuat sama ada perlu menukarkan kepada penggunaan tangki pam jenis lain seperti plastik,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini