comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid tahun tiga cedera dihempap tangki pam tandas

IPOH: Seorang murid perempuan tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan di sini, cedera dihempap tangki pam tandas jenis seramik yang tercabut dalam kejadian pada Selasa lalu.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.

Khairudin berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu dan murid terbabit mengalami kecederaan ringan serta dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Katanya, kejadian berlaku ketika murid itu sedang menggunakan tandas.

“Tindakan awal dilakukan pihak sekolah dengan menghubungi ibu bapa untuk membawanya ke HRPB.

“Daripada imbasan X-ray yang dilakukan, murid itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dibenar pulang ke rumah (pada hari sama selepas terima rawatan).

“Susulan kejadian, saya berharap pihak sekolah sentiasa memantau penggunaan tandas kerana tidak mahu perkara sama berlaku kepada murid lain,” katanya.

Khairudin berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Bangkit Bersama di Pusat Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak di sini, hari ini.

Beliau turut mengarahkan pihak sekolah memastikan sebarang kerja naik taraf yang dilakukan mengikut spesifikasi supaya tidak berlaku kecelakaan membabitkan murid akibat kecuaian pihak kontraktor.

Sementara itu, katanya, sebanyak 700 sekolah di Perak akan menerima peruntukan untuk kerja-kerja menaik taraf tandas seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan.

“Saya diberitahu kerja naik taraf itu telah pun diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan negeri dan ia perlu dilaksanakan sehingga Oktober tahun ini.

“Apabila projek ini siap, kita mengharapkan Jabatan Pendidikan negeri membentuk pasukan petugas untuk melihat keberkesanan dan keadaan tandas yang dinaik taraf itu,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor juga perlu mengikut piawaian yang ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pada 11 Julai lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, setiap sekolah di bawah kementerian itu diperuntukkan RM70,000 bagi menyelesaikan masalah penyelenggaraan tandas dan diberi tempoh tiga bulan untuk memastikan kebersihannya.

Loading...
Terkini