comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid Tadika cipta rekod reka Jalur Gemilang terpanjang guna dulang telur

Murid Tadika Mega Genius berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan mencipta Jalur Gemilang terpanjang menggunakan dulang telur. – Foto: NSTP/Mary Victoria Dass.

ISKANDAR PUTERI: Replika Jalur Gemilang bersaiz 23 meter panjang dan 8.5 meter lebar dicipta murid Tadika Mega Genius menggunakan dulang telur sempena Hari Kebangsaan ke-66 berjaya menempa nama di Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengetua Tadika Mega Genius, R Mohanambal berkata sebanyak 2,128 keping dulang telur digunakan serta ia mengambil tempoh masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan.

Beliau berkata, seramai 86 murid dengan kerjasama kumpulan guru dan ibu bapa terbabit dalam aktiviti mewarna dulang telur berkenaan.

Ini kemudian diteruskan dengan aktiviti penyusunan dulang telur yang sudah diwarnakan di Dewan Raya Gelang Patah mulai petang semalam hingga awal pagi tadi.

Katanya, kesemua dulang telur berkenaan adalah sumbangan keluarga murid tadika manakala pengurusan tadika menyediakan bahan untuk mewarna.

“Sudah menjadi tradisi tadika kami yang beroperasi di Nusantara Prima, Gelang Patah untuk mengadakan program sambutan Hari Kebangsaan sejak lima tahun lalu.”

“Saya kagum melihat kesungguhan murid, keluarga mereka serta guru bagi menjayakan usaha mencipta replika ini sehingga ia direkod sebagai bendera terpanjang menggunakan dulang telur.”

“Saya yakin menerusi aktiviti seumpama ini, kumpulan murid sedikit sebanyak dapat merasakan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan sekaligus mempamerkan semangat cintakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media program sambutan Hari Kebangsaan Tadika Mega Genius di Dewan Raya Gelang Patah di sini hari ini.

Penyerahan sijil disampaikan oleh Pengurus Pejabat MBOR, Lee Pooi Leng sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, N Saraswati.

Sementara itu, Saraswati yang turut menyempurnakan program berkenaan berkata, aktiviti seumpama itu mampu menerapkan nilai-nilai murni seperti cintakan tanah air, berdisiplin dan bekerjasama di samping mengeratkan silaturahim di kalangan warga tadika.

“Walaupun mereka hanya berusia tiga hingga enam tahun, semangat mereka bagi meraikan hari kemerdekaan adalah luar biasa. Ia seharusnya menjadi ikutan oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, seorang murid, L Shasvinth, 6, berkata dia amat seronok apabila dapat mewarna dulang telur bersama ibu bapa dan guru.

“Saya gembira melihat bendera bersaiz besar hari ini dan dapat berkumpul bersama rakan menyanyikan lagu patriotik,” katanya.

Loading...
Terkini