comscore
Tumpuan :
Nasional

Mydin anggap kebakaran di Manjoi sebagai ketentuan Allah

Kebakaran di Mydin Manjoi pada Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Mydin Mohamed Holdings Berhad berharap tiada spekulasi atau berita palsu dikeluarkan susulan insiden kebakaran di MYDIN Manjoi, Perak.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed, Datuk Ameer Ali Mydin dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan memaklumkan punca kebakaran selepas mendapat makluman daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut Ameer Ali, pihaknya bersyukur tiada kemalangan jiwa terlibat dalam kebakaran itu.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin. FOTO: Ameer Ali Mydin / Facebook

Punca dan jumlah kerugian masih belum ditentukan.

Tambah kenyataan itu lagi, beliau mewakili seluruh warga kerja Mydin Mohamed menerima ketentuan Allah SWT.

Jelas Ameer Ali, kebakaran berlaku pada kira-kira jam 6.45 petang semalam.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta warga gugusan Manjoi atas usaha menyelamat dan memadamkan kebakaran itu.

Katanya, Mydin Mohamed juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan mereka.

Beberapa laporan menyebut, kebakaran membabitkan tingkat atas pasar raya itu sebelum dikawal pihak bomba tengah malam tadi.

Berikutan kejadian itu, Mydin Manjoi ditutup sementara bermula hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak dan selepas mendapat kebenaran dan kelulusan pihak bomba.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini