comscore
Tumpuan :
Nasional

MyLesen B2: 40,000 penerima B40 tahun depan

Foto hiasan

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang merangka perancangan rapi bagi membolehkan 40,000 orang daripada golongan B40 di seluruh negara layak dipilih sebagai penerima bantuan lesen memandu motosikal kelas B2.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramlee berharap inisiatif itu dapat melahirkan ramai pemandu kenderaan bermotor yang kompeten serta meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 sebelum ini mengumumkan penerima bantuan lesen memandu motosikal kelas B2 akan ditingkatkan daripada 9,000 orang tahun ini kepada 40,000 orang tahun depan.

“Kita masih lagi menunggu arahan daripada Kementerian Pengangkutan berhubung kuota 40,000 penerima B40 yang akan dilatih untuk MyLesen B2 tahun depan.

“Jadi dari segi gerak kerjanya, JPJ telah membuat perancangan rapi untuk tahun depan dan penerimanya pula daripada golongan B40,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program MyLesen B2 Peringkat Negeri di Dewan Perzim, Banda Hilir di sini, hari ini.

Tambah Aedy Fadly, melalui Belanjawan 2023, program berkenaan berjaya dimanfaatkan 9,000 penerima di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM2.7 juta.

Menurutnya, peruntukan berkenaan merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM300 setiap seorang.

Menurutnya, seramai 298 penerima dari Melaka berjaya menerima bantuan lesen memandu motosikal kelas B2.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini