comscore
Tumpuan :
Nasional

MyMobiFix Bantu Tingkat Kemahiran Keusahawanan Untuk Golongan B40

KUALA LUMPUR: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan usaha sama HSBC Bank Malaysia menganjurkan kursus penyelenggaran dan membaik pulih telefon pintar serta asas keusahawanan sosial di bawah program MyMobiFix yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan pengetahuan keusahawan golongan B40.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh berkata, sepanjang tempoh pandemik berlaku, tumpuan YIM telah berkembang bukan sahaja memacu inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga kepada meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan keutamaan diberikan kepada kumpulan B40.

“Ini dilakukan melalui pelaksanaan projek yang berpotensi melepaskan mereka daripada cengkaman kewangan yang yang disebabkan oleh kehilangan punca pendapatan”, kata beliau.

Program MyMobiFix merupakan salah satu program teknikal yang pertama dijalankan oleh YIM untuk golongan sasar dalam mewujudkan peluang perniagaan membaik pulih telefon pintar secara sepenuh masa atau sebagai sumber penjanaan pendapatan tambahan secara sambilan.

Program tiga hari itu diadakan sejak 3 hingga 5 Jun 2022 melibatkan seramai lebih 40 orang peserta dari golongan B40 dan diadakan di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya di sini.

Program MyMobiFix yang dijalankan dengan kerjasama Rakan Impak, sebuah entiti Keusahawanan Sosial yang dikenali U4U (Upskilling 4 Upscaling) dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama dan kedua dianjurkan selama dua minggu pada November dan Disember 2021 dan melibatkan seramai 70 peserta. 

Fasa ketiga pula melibatkan 100 peserta dan telah dijalankan di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur pada bulan Mei hingga bulan ini.

Melihat kejayaan program pada tahun ini, HSBC Bank Malaysia telah memberi komitmen untuk meneruskan program pada tahun depan.

Seramai 170 peserta lagi bakal mendapat manfaat daripada program ini yang mana mereka berpeluang untuk menambah kemahiran dan sumber pendapatan dengan membuka perniagaan sendiri di bawah ekonomi gig yang membolehkan mereka untuk bekerja dari rumah atau di mana-mana sahaja.

Loading...
Terkini