comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas 6 sekeluarga di Segamat, APAD batal lesen syarikat lori

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata syarikat pengendali gagal patuh syarat berkanun lesen selain didapati mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

PETALING JAYA: Lesen syarikat lori terbabit nahas mengorbankan enam sekeluarga 1 September lalu di KM5 Jalan Segamat-Kuantan dibatalkan serta-merta.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati syarikat itu gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat, selain melanggar syarat lesen Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, pihak syarikat itu juga gagal memperbaharui lesen kenderaan motor bagi lori yang telah tamat tempoh ketika kemalangan berlaku.

“Semakan dengan agensi berkaitan mendapati syarikat ini turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Dijelaskan tindakan pembatalan lesen pengendali syarikat ini akan berkuat kuasa serta merta dan ditegaskan selepas tempoh pembatalan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan,” menurutnya.

Pada 1 Sept, enam sekeluarga maut melibatkan pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46, dan isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43, serta anak-anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan yang berlaku pada kira-kira 6.37 petang itu dilapor membabitkan sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza, dan Perodua Bezza, serta sebuah lori bermuatan pasir.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya dan mengancam keselamatan pengguna lain.

Apad juga memberi ingatan kepada mana-mana pengendali berlesen memantau prestasi pemandu mereka, termasuk memastikan aspek kebajikan pemandu terjaga setiap masa.

“Apad berharap tindakan dikenakan ke atas syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini