comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas Genting Highlands: Lesen pengendali syarikat bas dibatal serta-merta

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali dan permit kenderaan syarikat M. Kumar Trans Tour Sdn Bhd yang terlibat insiden kemalangan maut di Jalan Genting Highlands, daerah Bentong, Pahang pada 29 Jun lalu, serta-merta.

Dalam kenyataan hari ini, APAD memaklumkan, keputusan dibuat melalui Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) pada Selasa lalu kerana syarikat berkenaan tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang ditetapkan.

“(Pembatalan itu) atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dan pemanduan secara berbahaya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, semakan dengan agensi berkaitan juga mendapati syarikat tersebut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

Justeru, APAD menegaskan, sebarang transaksi berhubung lesen pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.

“APAD sekali lagi ingin menegaskan pendirian untuk tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya.

“Pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi akan dipergiatkan untuk memastikan keselamatan pengguna sentiasa diutamakan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, APAD mengingatkan mana-mana syarikat pengendali untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dan memastikan aspek kebajikan pemandu terjaga setiap masa dalam memastikan keselamatan terhadap pengguna jalan raya lain.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi, bas persiaran yang membawa 21 penumpang, terbalik dan meragut dua nyawa pelancong lelaki warga China, selepas terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di kawasan selekoh KM16.6 Jalan Genting Highlands.

Bas berkenaan membawa 18 pelancong warga China, seorang pemandu pelancong dan dua pemandu sedang dalam perjalanan dari arah Genting Highlands turun ke bawah.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini