comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas helikopter TLDM: Kesiapsiagaan semua pesawat dipertingkat

FOTO: NSTP

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Susulan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak, TLDM kini dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan pesawatnya.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan, susulan insiden berlaku yang menjejaskan pengoperasiannya.

“Tentu sekali akan menjejaskan pengoperasian dan keperluan TLDM tetapi kita sedang berusaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan pesawat yang ada dan dalam waktu sama mencuba untuk mendapatkan perolehan helikopter yang baharu, sama ada pembelian terus atau secara sewaan.

“Kedua-dua pesawat dikategorikan sebagai tidak boleh diperbaiki.”

“AW139 ini merupakan helikopter terbaharu berpangkalan di Kota Kinabalu dan kita ada tiga yang  baharu kita perolehi, jadi sekarang apabila satu mengalami keadaan sedemikian, tinggal dua sahaja yang boleh beroperasi manakala Fennec tinggal empat daripada enam helikopter kerana sebuah lagi juga mengalami kerosakan,” katanya pada sidang media Laporan Akhir Insiden Helikopter TLDM, di KD Sri Gombak di sini, hari ini.

Kedua dua bangkai pesawat kini masih berada di markas udara untuk semakan dan juga siasatan lanjut.

Dalam pada itu beliau berkata, TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memastikan kebajikan waris mangsa nahas sentiasa diberikan perhatian utama.

“Semua urusan pembayaran pampasan khususnya skim takaful berkelompok ATM, sumbangan daripada Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN)  dan juga sumbangan lain telah kita serahkan pada waris berkelayakan.

“Pada masa sama bayaran faedah perkhidmatan dalam bentuk pencen secara bulanan kepada waris yang berkelayakan telah bermula, manakala sumbangan dan juga terimaan lain dari pihak yang bersimpati melalui tabung Tragedi Lumut 2024 masih lagi diteruskan dan akan diagihkan kepada semua waris pada Oktober atau November kelak,” ujarnya.

Laporan akhir yang dikeluarkan Lembaga Siasatan hari ini, memaklumkan faktor utama nahas berlaku disebabkan pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta telah memasuki laluan pesawat HOM AW139.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini