HOME / Nasional

Najib Tarik Balik Permohonan Diberi Kediaman Bernilai RM100 Juta

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan menarik balik permohonan untuk diberi kediaman bernilai RM100 juta daripada kerajaan.

Keputusan beliau itu dibuat setelah perbincangan permohonan yang dibuat pada 2018 sebelum surat Permohonan Kemudahan Rumah Kerajaan yang dihantar pada 2019, telah dijadikan isu dan propaganda utama dalam pilihan raya negeri Melaka.

Maklumat mengenai penarikan semula permohonan untuk diberi kediaman itu dibuat beliau menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini, sebelum mengulanginya sekali lagi beserta surat permohonan itu, dalam satu lagi hantaran selepas tarikh permohonan tersebut menjadi pertikaian.

“Saya tidak minta dibayar RM100 juta atau minta kerajaan belanja RM100 juta sebagai hadiah pada saya. Permohonan saya belum diluluskan pun. Saya tidak faham kenapa ia dijadikan propaganda utama PRN Melaka, sedangkan saya bukan calon ataupun presiden UMNO mahupun pengerusi Barisan Nasional.

“Kini saya dah buat keputusan tarik balik permohonan saya untuk kediaman tersebut. Sebab saya tidak mahu isu ini digunakan sebagai modal kempen PRN Melaka,” katanya dan menambah permohonan untuk diberi hadiah kediaman daripada kerajaan adalah seperti hak bekas perdana menteri di bawah Akta kerajaan.

Najib berkata dana RM100 juta itu boleh dimasukkan dalam satu tabung khas, untuk diberikan sebagai pinjaman tanpa sebarang faedah atau kos perkhidmatan kepada mereka yang sudah lama meminta kenaikan had pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“RM100 juta boleh memanfaatkan 20,000 penerima dengan nilai RM5,000 seorang,” katanya.

Isu ‘hadiah’ RM100 juta kepada Najib dibangkitkan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada persidangan Dewan Rakyat semalam.– BERNAMA