comscore
Tumpuan :
Nasional

Nasib peniaga Kampung Jawa akan dibela – Exco

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kerajaan Melaka memberi jaminan nasib hampir 20 peniaga akan terus dibela ekoran penutupan operasi perniagaan mereka di Kampung Jawa di sini, 31 Mei ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga terbabit bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.

Beliau berkata, perjumpaan itu penting bagi mencapai kata persetujuan bersama peniaga sama ada perlu mewujudkan tapak baharu di kawasan sama atau di lokasi lain.

“Saya akan adakan perjumpaan bersama pihak yang berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian dan persetujuan jika mahu mewujudkan kawasan baharu Kampung Jawa.

“Kalau kita cari tempat niaga untuk mereka (peniaga) tapi mereka tidak setuju pun tidak guna, jadi hari ini kita panggil mereka semua (lebih 15 peniaga) untuk datang berbincang bersama.

“Kampung Jawa ini nostalgia sejak 100 tahun dahulu, inilah tempat beli-belah kita, jadi ia tidak boleh dilupakan begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pandu Lalu KITARecycle di Taman Botanikal di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Sebelum ini, media melaporkan Kampung Jawa yang popular sebagai kawasan beli-belah barangan keperluan dan rumah sejak lebih 100 tahun lalu akan ditutup pada 31 Mei ini bagi memberi laluan kepada pembangunan projek baharu.

Dalam perkembangan lain, Zaidi menjelaskan, kerajaan negeri masih meneruskan insiatif Melaka Bebas Berniaga sehingga satu dasar baharu diputuskan.

“Status bebas berniaga setakat ini kita belum buat apa-apa keputusan tentangnya, jadi dasar sebelum ini masih terpakai lagi sehingga kita buat satu dasar baharu,” katanya.

Pada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 dua tahun lalu, kerajaan negeri memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk berniaga di mana sahaja dalam tempoh satu tahun.

Perkara tersebut katanyq, adalah antara inisiatif bagi membantu peniaga dan rakyat yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara.

Loading...
Terkini