comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka pantau ‘trend’ COVID-19 sebelum wajibkan pelitup muka

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan monumen bendera gergasi di padang kawad Rejimen 514 Askar Wataniah, Kem Bukit Beruang di Ayer Keroh di sini hari ini.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kerajaan Melaka sedang memantau perkembangan kes COVID-19 sebelum memutuskan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam di negeri berkenaan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini, pihaknya belum bercadang menguatkuasakan peraturan itu memandangkan ‘trend’ jangkitan di negeri berkenaan masih terkawal.

“Kita memantau perkara ini, EXCO yang bertanggungjawab kepada COVID-19 ini akan mengemukakan laporan setiap kali mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

“Kita menggalakkan kepada semua terutama pelancong mahupun mereka yang datang di Melaka dan rakyat Melaka sendiri kita untuk memakai pelitup muka.

“Kita menggalakkan pemakaian pelitup muka, tetapi belum sampai untuk menguatkuasakannya,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas majlis pecah tanah projek pembinaan monumen bendera gergasi di padang kawad Rejimen 514 Askar Wataniah, Kem Bukit Beruang di Ayer Keroh di sini hari ini.

Datuk Seri Sulaiman berkata, dalam tempoh seminggu lalu, Melaka mencatat kadar kes jangkitan COVID-19 yang kurang membimbangkan apabila tidak melebihi 50 kes.

“Kes jangkitan itu berada di antara 19 hingga 30 kes pada minggu lalu,” katanya.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) khas berkaitan kemasukan pelancong luar ke Melaka, ujarnya, kerajaan negeri akan mematuhi segala keputusan kerajaan pusat.

Dalam pada itu beliau berkata, pembinaan monumen bendera gergasi setinggi 166 meter dari aras laut di Hutan Simpan Bukit Beruang itu bakal menjadi mercu tanda baharu di negeri itu.

Ia tambahnya, bakal menjadi tarikan pelancong kepada Melaka.

Loading...
Terkini