comscore
Tumpuan :
Nasional

Negeri lain harus contohi pembangunan mampan Sarawak – TPM

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Program Mini Karnival Keusahawanan Desa (KUD) Tahun 2024 di Halaman Samarahan, Kota Samarahan. FOTO: NSTP

KOTA SAMARAHAN: Langkah Sarawak menyeimbangkan pembangunan mampan dengan teknologi hijau harus dicontohi negeri lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dilihat sukar, namun dengan kestabilan politik di Sarawak, ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pencapaian itu meletakkan Sarawak kini di depan dan menjadi contoh terbaik dalam membangunkan ekonomi baharu bagi menjana pendapatan negeri.

“Saya kagum dengan pembangunan di Sarawak ini yang diseimbangkan dengan pembangunan teknologi, terutama teknologi baharu seperti tenaga hidrogen, kenderaan elektrik (EV) dan solar.

“Ini adalah satu contoh terbaik yang harus diikuti negeri lain di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Program Mini Karnival Keusahawanan Desa (KUD) 2024 di Halaman Samarahan, hari ini.

Ujarnya selain kestabilan politik, pencapaian Sarawak itu turut disumbangkan pemimpin berpandangan jauh dan berani.

“Sarawak beruntung kerana mempunyai seorang Premier (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) yang mempunyai tekad politik yang tinggi untuk memacu dan memperkasakan kemajuan dan pembangunan Sarawak,” katanya.

Justeru tambahnya Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membantu Sarawak meringankan bebanan bagi merancakkan lagi pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

“Untuk itu, satu elemen bagi memperkasakan lagi pembangunan Sarawak, meletakkan Sarawak, kita melaksanakan beberapa program terutama dalam memajukan usahawan melalui KUD ini.

“Perkara mustahak baharu digunakan sebagai pemangkin kepada gerak kerja untuk memajukan pembangunan desa antaranya meningkatkan keterampilan kemahiran usahawan sama ada usahawan mikro, usahawan kecil serta usahawan sederhana,” katanya.

Beliau berkata, usahawan terbabit harus diberi pendedahan dan pengetahuan mereka.

“Kita harus memperkasakan seluruh sistem yang ada bagi mewujudkan ‘wow factor’ kepada usahawan desa ini.

“Kita tidak mahu mereka hanya juara di kampung sendiri sahaja tetapi kita mahu mereka yang berada bawah naungan KKDW khususnya supaya disatukan untuk mengeluarkan produk tertentu bagi pasaran lebih luas dan yang lebih penting ia mesti dieksport dan punyai piawaian tinggi bagi pasaran antarabangsa.

“Menerusi bantuan ini, kita dapat membantu memperkasakan lagi pembangunan di Sarawak yang kini semakin pesat. Inilah matlamat penganjuran KUD di Sarawak ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini