comscore
Tumpuan :
Nasional

Nenek, cucu maut bersama kemalangan di LPT2

FOTO: NSTP

DUNGUN: Seorang nenek bersama seorang cucu perempuannya maut dalam kemalangan di Kilometer 362.3, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT 2), dekat Bukit Besi, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1.45 petang, Kelsom Abdullah,86, dan cucunya, Fatin Zulailahuda Zulkifli, 20, maut di tempat kejadian.

Seorang mangsa yang cedera parah ialah Hayati Muda, 51, yang merupakan ibu kepada Fatin Zulailahuda.

Suami kepada Hayati, Zulkifli Ismail,57, dan seorang lagi anak lelaki mereka, Muhammad Zul Adli Zulkifli, 22, cedera ringan.

FOTO: NSTP

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, kesemua mangsa yang menaiki sebuah Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dalam perjalanan dari Kemaman menghala ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, Zulkifli yang tinggal di Kampung Mak Chili Paya Kemaman dan memandu kereta jenis Naza Citra dalam perjalanan menghantar ibu mentuanya yang tinggal di Kampung Tertambah Manir, Kuala Terengganu.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan yang mereka naiki dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya di sebelah kiri.

“Kenderaan terbabit kemudiannya merempuh besi pembahagi lebuh raya yang menyebabkan Kelsom yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya

Maizura berkata, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital yang sama untuk menerima rawatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini