comscore
Tumpuan :
Nasional

Nenek, cucu sesat di Bukit Buluh Telur ditemukan selamat

Nenek bersama cucu perempuan yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, ditemukan dalam keadaan selamat pada pukul 9.30 pagi tadi.- FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Wanita berusia 62 tahun bersama cucu perempuannya yang sesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, di sini, ketika mahu ke kebun durian mereka semalam, berjaya ditemukan dengan selamat.

Wanita terbabit bersama cucunya berusia 12 tahun ditemukan pasukan penyelamat, kira-kira jam 9.30 pagi tadi, kira-kira sejam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata terdahulu, operasi SAR mencari dua sekeluarga itu disambung jam 8 pagi tadi.

“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan dalam operasi ini sambil dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk Orang Asli.

“Berdasarkan maklumat waris, lokasi mangsa berjaya dikesan melalui panggilan telefon, kira-kira satu jam daripada ‘check point’ pertama, iaitu penghujung laluan motor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

FOTO: JBPM

Semalam, JBPM Selangor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari BBP Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi, yang kemudian ditangguhkan jam 7.20 malam tadi sebelum disambung pagi ini.

Menurut laporan awal, nenek dan cucunya itu dipercayai ke kebun durian mereka sebelum wanita warga emas berkenaan menghubungi anak sulungnya kira-kira jam 12 tengah hari semalam memaklumkan mereka sesat.

Anak wanita itu kemudian membuat laporan kehilangan ahli keluarganya pada jam 3 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini