comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ngeh maafkan pelaku cetus kebakaran di kediamannya

 

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham memaafkan pelaku yang mengakibatkan kebakaran di kediamannya awal pagi tadi sehingga merosakkan tiga kenderaan miliknya.

Ngeh berkata, beliau percaya pelaku terlibat didorong mempercayai perkara tidak benar selain dihasut melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya memaafkan mereka yang mahu membakar kereta saya, rumah saya, dan ingin mencederakan keluarga saya.

“Sebagai peguam dan sudah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam, saya tahu terlibat dalam jenayah (pelaku) bukanlah kehidupan membahagiakan.

“Saya menjemput mereka berubah dan menjadi warganegara yang baik. Ahli keluarga anda menyayangi anda, tetapi apabila anda terlibat jenayah, anda mengguris mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ayer Tawar tengah hari tadi.

Tambahnya, beliau mengesyaki kejadian yang berlaku hari ini ada kaitan dengan kenyataan medianya pada 28 Disember lalu.

“Satu-satunya penyebab yang saya syak serangan ini berlaku kerana kenyataan media yang saya keluarkan pada 28 Disember tahun lalu,” katanya.

Ngeh mengundang kontroversi dalam kenyataan media tersebut, apabila mencadangkan pakar Perlembagaan bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Kediaman beliau di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung diserang menggunakan bahan letupan awal pagi tadi.

Siasatan polis telah menemui botol yang disyaki mengandungi Molotov Cocktail di lokasi kejadian.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini