comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi penerbangan pesawat Blackshape di Malaysia digantung berkuat kuasa esok – CAAM

Beberapa serpihan pesawat ringan Blackshape model BK 160TR Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang. FOTO: Fail

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menggantung semua operasi penerbangan membabitkan pesawat Blackshape dalam ruang udara Malaysia berkuat kuasa esok.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, arahan penggantungan itu membabitkan pesawat Blackshape model BS 115, BK 160, BK 60-200 dan BK 160TR.

Beliau berkata, penggantungan selaras Arahan Kelayakan Udara Kecemasan (EAD) yang dikeluarkan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) selaku pihak berkuasa bagi pembuatan pesawat berkenaan semalam.

Arahan EASA itu, katanya, untuk menggantung operasi penerbangan semua pesawat Blackshape, termasuk semua nombor siri berkuat kuasa esok.

“Penerbitan EAD oleh EASA adalah ekoran kemalangan maut membabitkan pesawat Blackshape baru-baru ini, yang telah meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan.

“CAAM komited dalam mengutamakan keselamatan penerbangan di Malaysia dan akan mengambil semua tindakan sewajarnya bagi memastikan operasi penerbangan yang selamat,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam insiden jam 1.45 tengah hari pada 16 Februari lalu, juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 43, maut selepas dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat ringan Blackshape BK 160TR Gabriel yang terjunam di kawasan ladang sawit di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

Laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan yang dikeluarkan 13 Mac lalu, memaklumkan pesawat itu berkemungkinan besar pecah di udara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini