comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi Pengauditan Dan Pemutihan Minyak Masak Paket

PETALING JAYA : Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) telah membuat keputusan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata operasi ini bertujuan mendapatkan status sebenar mengenai jumlah minyak masak paket yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluaran dan pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu.

Kerajaan juga telah mengarahkan pihak penguatkuasa yang terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

“Langkah ini demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna” kata Datuk Seri Ismail Sabri yang turut mempengerusikan mesyuarat itu hari ini.

Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.

Mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Dalam masa sama, Kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

Loading...
Terkini