comscore
Tumpuan :
Nasional

Orang ramai ambil wang itu dan dimasukkan semula ke dalam beg arwah – Adik mangsa

KOTA BHARU: “Mungkin wang itu baru sahaja dikeluarkan arwah abang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM)”

Itu telahan adik mangsa Nik Nurul Shazelin Mohd Nawi, 31, iaitu adik kepada pemandu Mufti Kelantan yang meninggal dunia dalam kemalangan, tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah di sini kelmarin.

Dalam kejadian itu, Nik Mohammad Ahzan Mohd Nawi, 41, disahkan antara dua yang maut dalam kemalangan terbabit.

“Pada malam kejadian, kami dimaklumkan wang berteraburan di atas jalan dan orang ramai mengambil wang itu dan dimasukkan semula ke dalam beg arwah,” katanya.

Bercerita lanjut, Nik Nurul Shazelin berkata, dia mengetahui kemalangan yang meragut nyawa abang sulungnya itu selepas dihubungi oleh seorang lagi abangnya pada 9.30 malam selepas pulang dari melawat ibunya.

“Abang saya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas rakannya yang juga anggota polis berada di lokasi kejadian memberitahunya sebaik melihat nama pada kad pengenalan arwah,” katanya.

Nik Nurul Shazelin berkata, beberapa hari sebelum arwah abangnya terbabit dalam kemalangan, kakak iparnya, Nor Liana Aziz, 37, ada memaklumkan arwah menjadi pendiam selain banyak termenung.

“Pada masa sama, arwah abang juga sering kali menyatakan hasratnya untuk berpindah ke Kota Bharu selepas 13 tahun bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Machang,” katanya.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Kasar pada 3 petang semalam dan solat jenazah diimamkan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Loading...
Terkini