comscore
Tumpuan :
Nasional

Pembantu kantin dan remaja lelaki maut dalam kemalangan

ALOR GAJAH: Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas, di sini, petang tadi mengorbankan seorang pembantu kantin sekolah dan remaja lelaki.

Dalam kejadian jam 2.35 petang itu, kedua-dua mangsa penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang maut adalah Shahrul Effendi Sabtu, 23, yang juga pembantu kantin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah dan Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah,15.

Katanya kemalangan dipercayai berlaku selepas Taufiq yang menunggang motosikal Honda Dash 125 cuba memotong sebuah Perodua Bezza dari arah bandar Alor Gajah menuju ke Air Paabas.

“Seorang saksi memaklumkan, motosikal remaja itu bagaimanapun hilang kawalan dan bertembung dengan motosikal Yamaha Lagenda 115Z ditunggangi Shahrul dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu Taufiq tercampak ke kiri jalan lalu dilanggar kereta Bezza itu yang dipandu suri rumah berusia 23 tahun.

“Kedua-dua penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita minta saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat berkaitan,” katanya.

Loading...
Terkini