comscore
Tumpuan :
Nasional

PAC panggil Wee Ka Siong untuk prosiding minggu depan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong akan dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
dalam prosiding keempat pengurusan wabak COVID-19 minggu depan.

Turut dipanggil bagi prosiding sama bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, selepas mendengar penjelasan dan keterangan daripada saksi-saksi yang hadir dalam prosiding hari ini, PAC membuat keputusan untuk meneruskan prosiding keempat.

“PAC akan memanggil mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam serta mantan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

“Prosiding ini dijadualkan diadakan pada 21 September 2023, Khamis depan.

“PAC memerlukan keterangan dan penjelasan daripada Ka Siong memandangkan nama beliau disebut dalam prosiding sebelum ini dan untuk berlaku adil kepada beliau, PAC mahu mendengar penjelasannya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu PAC mengadakan prosiding ketiga yang mana Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Norazman Ayob; Pengerusi PHARMANIAGA, Izaddeen Daud, dan Pengerusi, ExcoPHARMANIAGA, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff memberikan keterangan.

Artikel berkaitan: CEO Pharmaniaga letak jawatan

Prosiding pertama PAC berhubung isu itu diadakan pada 15 Jun lalu manakala, prosiding kedua diadakan pada 22 Ogos lalu.

Mas Ermieyati bagimanapun tidak mendedahkan alasan Presiden MCA itu dipanggil kerana prosiding PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau memaklumkan surat panggilan mesyuarat kepada saksi ini akan dikeluarkan dan semua saksi berkenaan diminta hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan terhadap isu ini.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, PAC akan memanggil KementerianPertahanan pada 3 Oktober ini bagi mendapatkan penjelasan berkenaan Kemajuan Projek Pembinaan LCS bagi bulan Jun 2023 sehingga Ogos 2023.

Katanya, sebelum ini, PAC telah mendengar perkembangan berhubung projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 pada 10 Jun 2023.

“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, PAC Parlimen ke-15 akan mendapat taklimat setiap tiga bulan daripada MINDEF berhubung kemajuankapal LCS.

Sementara itu, katanya pembentangan Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 akan dibentangkan pada minggu pertama mesyuarat ketiga Parlimen.

Katanya, turut dibentangkan pada mesyuarat ketiga adalah Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Turut dimaklumkan, PAC sudah memuktamadkan dua laporan iaitu, Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua –LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

Katanya, satu lagi adalah Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Beliau juga memaklumkan prosiding baharu ke atas Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan dijalankan pada minggu kedua, mesyuarat ketiga, Parlimen ke-15 2023.

“Sukacita dimaklumkan bahawa PAC sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding ke atas HRDF. Tajuk bagi prosiding ini akan ditentukan kemudian,” katanya.

Artikel berkaitan: PAC sasar bentang laporan pengurusan wabak COVID-19 pada sidang Parlimen Okt-Nov

Loading...
Terkini