comscore
Tumpuan :
Nasional

PAC ke Lumut pantau status pembinaan LCS

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati semasa sidang media di Parlimen pada 8 Jun 2023.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini ke Lumut, Perak bagi memantau status pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) menerusi lawatan ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan hari ini berkata PAC mengambil masa kira-kira dua jam untuk melihat sendiri status pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua itu, bermula pada jam 10 pagi tadi.

Menurut beliau, prosiding PAC berkaitan status pembinaan LCS turut diadakan dengan memanggil tiga saksi bagi memberi keterangan dan penjelasan berhubung status pembinaan kapal berkenaan.

Katanya, prosiding PAC dimulakan pada jam 2.30 petang memfokuskan laporan kemajuan projek LCS yang perlu dibentangkan Kementerian Pertahanan setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan selaras dengan syor PAC Parlimen ke-14 sebelum ini.

Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad.

Turut dipanggil, Ketua Lembaga Pengarah Boustead Naval Shipyard (BNS), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jummat.

“Prosiding berakhir pada jam 6 petang,” katanya.

Tambahnya, PAC komited untuk membentangkan Laporan Kemajuan Projek LCS, yang akan menyentuh kemajuan pembinaan LCS yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei 2023 untuk dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 2023.

Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 2023 akan diadakan bermula 9 Oktober sehingga 30 November ini.

Loading...
Terkini