comscore
Tumpuan :
Nasional

Pakar Mak Yong, Prof Ghulam-Sarwar Yousof meninggal dunia

GEORGETOWN: Pakar seni tari mak yong yang juga cendekiawan tradisional, Profesor Ghulam-Sarwar Yousof menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun di kediamannya di Tanjung Tokong hari ini.

Allahyarham dipercayai meninggal dunia ketika sedang tidur dan pemergiannya disedari isterinya, Hajrah Beebee, 80, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Aktivis, Salma Khoo Nasution dalam satu hantaran di laman Facebook berkata beliau telah mengenali tokoh itu selama lebih 30 tahun dan bersedih apabila mendapat khabar kehilangan Allahyarham Ghulam-Sarwar.

Menurutnya, pada 3 Oktober lalu Allahyarham mengumumkan bahawa beliau telah meninggalkan Kuala Lumpur untuk kembali ke Pulau Pinang dan turut menyatakan hasrat untuk mengaktifkan semula pusat penyelidikannya.

“Saya sangat tidak sabar bertemu dengannya lagi untuk mendengar kata-katanya yang ilmiah. Ini akan menjadi pusat penyelidikan yang luar biasa.

“Pengetahuan ensiklopedianya tentang teater Asia yang terkumpul selama beberapa dekad namun dengan pemergiannya, kita telah kehilangan sebuah institusi kebudayaan,” tulisnya.

Allahyarham meninggalkan dua anak iaitu Malik Imtiaz, 52, yang merupakan seorang peguam dan Dr Malik Mumtaz, 56, serta empat cucu.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Pakistan dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak selepas solat Maghrib sebentar tadi.

Seorang rakan, Anwar Fazal berkata, Allahyarham telah menghabiskan enam bulan terakhir ini berpindah ke Pulau Pinang di samping telah menyewa satu ruang untuk dijadikan pusat penyelidikan serta perpustakaan bagi menempatkan koleksi seni budaya dan karya ilmiahnya.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya di kedai nasi kandar di Jelutong. Kami berbual mengenai koleksinya dan bagaimana beliau tidak sabar-sabar untuk memulakan program kebudayaan di universiti tempatan,” katanya.

Allahyarham memperoleh Doktor Falsafah (PhD) menerusi kajiannya dalam seni tari Mak Yong pada 1976 dari Universiti Hawaii yang merupakan pengiktirafan PhD pertama di dunia dalam bidang seni persembahan Melayu.

Beliau turut bertanggungjawab memperkenalkan dan mengetuai program seni persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1970 yang juga pertama seumpamanya di negara ini dan mengajar di sana selama 19 tahun.

Allahyarham juga merupakan seorang profesor dalam pengajian teater di Universiti Malaya (UM) dan kemudiannya mengajar bahasa Inggeris di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selain merupakan profesor pelawat di beberapa universiti di Asia, Australia dan Eropah.

Loading...
Terkini