comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga mangsa lemas tragedi kepala air

FOTO Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga 10 mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Chukai, Terengganu semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sepuluh mangsa tragedi itu ialah Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: Persiapan pengebumian jenazah mangsa lemas dilakukan penduduk

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.

Semalam, media melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya adalah sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang manakala seorang lelaki dari Batu Pahat, Johor dipercayai tunang kepada seorang daripada ahli keluarga itu telah datang ke Jeram Air Putih untuk berkelah pada Sabtu, sebelum dihanyutkan arus deras fenomena itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan penyelamat serta orang ramai yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa tragedi.

Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: Hanya 6 mayat ditemui, bukan 9 – Polis

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan dilaporkan berkata operasi SAR yang bermula semalam membabitkan 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (65), Pasukan Gerakan Am (PGA) (46), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (empat), badan bukan kerajaan (empat), pasukan khas teknikal oleh orang awam (sembilan) serta dibantu dua unit anjing pengesan K9 JBPM. – BERNAMA

Loading...
Terkini