comscore
Tumpuan :
Nasional

Pantau anak-anak, elak kejadian strok haba

Foto hiasan

KOTA BHARU: Ibu bapa dinasihatkan memantau aktiviti anak-anak sepanjang Aidilfitri serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian strok haba.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, gesaan itu dibuat kerana sepanjang perayaan akan berlaku banyak pergerakan dan aktiviti luar terutamanya membabitkan kanak-kanak.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang agak panas jangan benarkan anak-anak bermain atau berada dalam tempoh terlalu lama di bawah cuaca panas.

“Ibu bapa sudah sedia maklum langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil sebab kita tidak mahu perkara diluar jangka berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Program Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 22/2024 Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 yang dirasmikan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun di Hadapan Balai Polis Binjai, Kota Bharu, semalam.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin. – Foto NSTP

Dr Zaini berkata, selain kanak-kanak, mereka yang mempunyai penyakit dan golongan berusia turut berisiko terdedah kepada strok haba dan dinasihatkan supaya berwaspada terhadap tanda-tanda awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Simpton strok haba bergantung kepada keadaan dan tahap paling teruk ialah suhu badan meningkat, pening atau sakit kepala, mual, serta keletihan yang melampau,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya turut memberi penerangan mengenai bahayanya strok haba melalui media sosial Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) selain memaparkan klip video berkenaan di klinik kesihatan daerah.

“Setakat ini, pihak kami tidak menerima laporan kes terbaharu strok haba di negeri ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang berasal dari Bachok menjadi mangsa kedua strok haba meninggal dunia pada 1 April lalu selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini