comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM akan berbincang untuk tuduh, bebas atau usir 10 tahanan SOSMA berkaitan lelaki Israel

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa. – FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membuat keputusan berhubung 10 individu yang disyaki mempunyai hubungkait dengan lelaki Israel, Avitan Shalom yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, perbincangan itu membabitkan keputusan sama ada untuk membuat pertuduhan, membebaskan atau mengusir tahanan warga asing terbabit.

“Reman tahanan warga tempatan itu akan berakhir 14 Mei depan, manakala yang reman warga asing tamat pada 15 Mei.

“Insya Allah dalam minggu ini ada perbincangan (dengan Jabatan Peguam Negara) untuk kes ini, mungkin kita akan buat keputusan dalam masa terdekat.

“Sama ada kita tuduh kalau kita ada bukti, kita bebas jika tak ada bukti, atau kita usir jika dia warga asing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Tujuh warga tempatan, manakala tiga lagi warga asing kini ditahan selama 28 hari di bawah SOSMA bagi siasatan lanjut berhubung penahanan Avitan Shalom bersama enam pucuk pistol dan 158 butir peluru di sebuah bilik hotel di Ampang pada 26 Mac lalu.

Terdahulu kesemua 10 individu terbabit direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api dan kemudiannya disambung reman mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini