comscore
Tumpuan :
Nasional

Papan iklan terbakar: 3 masih terima rawatan di PPUM

PETALING JAYA: Tiga pekerja penyelenggaraan yang cedera dalam kejadian kebakaran papan iklan elektronik di Kilometer 33.8 Lebuhraya Persekutuan di sini, masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, enam lagi mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar dan sudah dibenarkan pulang.

“Siasatan awal mendapati ketika kebakaran berlaku terdapat sembilan pekerja asing menjalankan kerja penyelenggaraan ke atas papan iklan elektronik terbabit.

“Semua mangsa berusia 24 sehingga 40 tahun itu mengalami kecederaan dan dirujuk ke PPUM. Terdapat sebuah motosikal milik pekerja turut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.

Terdahulu, media melaporkan sembilan pekerja penyelenggaraan terperangkap dalam kejadian kebakaran papan iklan sebelum diselamatkan bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kejadian 1.15 tengah hari.

Katanya, operasi yang membabitkan kekuatan 17 pegawai dan anggota JBPM berjaya membawa turun kesemua mangsa yang terperangkap semasa melaksanakan kerja penyelenggaraan papan iklan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini