comscore
Tumpuan :
Nasional

 Papan iklan terbakar: Vendor miliki permit MBPJ

PETALING JAYA: Vendor yang menjalankan kerja kerja penyelenggaraan papan iklan elektronik yang terbakar tengah hari tadi, memiliki permit dan lesen daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon mengesahkan kesemua mangsa adalah pekerja syarikat vendor yang sedang melakukan penyelenggaraan itu.

“Untuk makluman vendor syarikat tersebut memang mempunyai permit dan lesen dari MBPJ dan sememangnya tidak menyangka perkara ini berlaku.

“Kerja-kerja dijalankan untuk penggantian struktur papan iklan berkenaan kerana ia sudah lima tahun, jadi vendor yang terlibat perlu menggantikan struktur yang baru dengan barang diimport dari luar, mungkin semasa penggantian yang sedang berlaku, perkara itu terjadi, namun kena tunggu laporan pihak bomba,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya kerja-kerja pembersihan akan dilakukan esok bagi memastikan laluan motosikal dapat dibuka semula.

Terdahulu sembilan pekerja terbabit berdepan detik cemas apabila sebuah papan iklan elektronik di KM 33.8 Lebuhraya Persekutuan berdekatan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kathholik, di sini, terbakar kira-kira jam satu tengah hari tadi.

Kesemua mangsa yang terlibat hanya mengalami cedera ringan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Zon 2 (Petaling) PgKB I Wan Syariman Wan Saleh memaklumkan Pusat Gerakan Operasi Negeri menerima panggilan daripada mangsa yang terperangkap jam 1.15 petang.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini