comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai kanan tentera guna kekerasan: Kertas siasatan diserah ke Pejabat Peguam Negara

KUCHING: Kertas siasatan melibatkan seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sarawak yang didakwa salah guna kuasa serta menggunakan kekerasan pada bulan lepas telah diserah ke Pejabat Peguam Negara.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Peguam Negara. Kebiasaannya kes melibatkan tentera ini akan pergi ke Mahkamah Tentera,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Padawan, Matu Daro dan Serian di sini hari ini.

Pada 7 Mac lepas, TDM mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanan TDM di Sarawak, terhadap seorang lagi pegawainya.

Markas TDM dalam kenyataan memaklumkan laporan polis telah dibuat mangsa berikutan kejadian yang didakwa berlaku semasa mangsa sedang menjalani latihan peringkat formasi dan laporan berkenaan telah tular di media sosial.

TDM turut menubuhkan lembaga siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian dan dakwaan tersebut, dengan pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini