comscore
Tumpuan :
Nasional

Peguam Negara, bekas Peguam Negara diundang beri penjelasan Oktober ini

Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (kiri) dan Tan Sri Idrus Harun

 

KUALA LUMPUR: Peguam Negara dan bekas Peguam Negara dijangka diundang memberi penjelasan berhubung beberapa isu yang diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Pengerusi JKPK William Leong Jee Keen berkata, ia kerana jawatankuasa berkenaan sedang membuat penelitian menyeluruh berhubung beberapa isu yang bakal diajukan kepada kedua-dua individu berkenaan.

Menurutnya, JKPK juga sedang mengumpulkan maklumat berkaitan daripada beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Peguam memandangkan ada sebahagian isu yang memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

JKPK ketika ini sedang mengkaji cadangan memisahkan peranan Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara, selain meneliti isu berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“JKPK juga memberi keutamaan untuk menangani salah faham dalam kalangan orang ramai yang beranggapan Peguam Negara menerima arahan daripada Perdana Menteri (berhubung keputusan DNAA ke atas Ahmad Zahid).

“Ramai yang beranggapan sedemikian tetapi ia salah sebenarnya dan Peguam Negara tidak memuktamadkan keputusan berdasarkan arahan daripada Perdana Menteri,” katanya kepada BH, hari ini.

Khamis lalu, JKPK dilapor menegaskan Peguam Negara dan bekas Peguam Negara tidak pernah diarahkan untuk menghadiri prosiding jawatankuasa berkenaan.

Willian dipetik berkata, mereka sebaliknya diundang untuk menyertai mesyuarat JKPK bagi memberi penjelasan beberapa isu berhubung percanggahan kuasa, terutama membabitkan kes berprofil tinggi.

BH baru-baru ini, pula melaporkan dua pasukan petugas khas ditubuh bagi mempercepatkan usaha pengasingan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya, sekali gus memastikan tadbir urus lebih demokratik dan mantap, selain meningkatkan pentadbiran undang-undang.

Pengasingan kedua-dua peranan itu akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada serta peraturan berkaitan, selain membawa implikasi kewangan dan perjawatan besar kepada kerajaan.

Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi diasaskan Presiden UMNO itu.

Ia susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Loading...
Terkini