comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja kilang maut, kereta bertembung lori

Kereta Proton Satria yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bukit Selambau-Kuala Ketil. Foto : NSTP

SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kilang maut selepas kereta Proton Satria yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Jalan Bukit Selambau-Kuala Ketil, semalam.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, mangsa, Muhammad Nazafee Abdul Jalil, 20, beralamat di Taman Desa Kamela, Alor Setar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu yang membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal.

Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa bergerak laju dari arah Kuala Ketil menghala ke arah Bukit Selambau dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit yang datang dari arah hadapan.

“Impak perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk dan menghalang laluan di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, pada masa sama datang sebuah motosikal dari arah Bukit Selambau tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan yang berada d tengah laluan jalan.

Mangsa yang terkorban dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil menghala ke arah Bukit Selambau.

Pemandu lori berusia 25 tahun dan penunggang motosikal Honda RS berusia 21 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tujuan bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini