comscore
Tumpuan :
Nasional

Rempuh bangkai lembu, pekerja kilang maut

Anggota Polis Trafik mengawal keadaan di lokasi nahas tiga kenderaan di Lebuh AMJ malam tadi.

MELAKA: Seorang pekerja kilang maut akibat tercampak ke jalan raya selepas motosikal ditunggangnya merempuh bangkai lembu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kandang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata kemalangan berlaku di Lebuh AMJ-Kandang dari arah Semabok ke Tiang Dua, kira-kira jam 9.10 malam membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV, Honda Stream, motosikal dan dua ekor lembu.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang maut ialah Muhammad Hafizudin Rosli, 27, beralamat di Kampung Solok Gaung Batu, Ayer Molek, di sini.

“Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan dari arah sama iaitu dari Lebuh AMJ Semabok menghala ke Tiang Dua.

“Sejurus tiba di lokasi pemandu SUV yang juga wanita berusia 26 tahun dikatakan terlanggar dua lembu melintas jalan sebelum kenderaannya dilanggar pula oleh kereta Honda Stream dipandu lelaki berusia 27 tahun dari belakang.

“Pada masa sama datang motosikal yang gagal mengelak dan merempuh seekor lembu yang mati di atas jalan akibat dilanggar SUV terdahulu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Akibat kemalangan itu penunggang terbabit tercampak di atas pembahagi jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.“

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematiannya.

“Dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita minta saksi atau mana-mana pihak yang menyaksikan kemalangan tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini