comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pelajar cekik adik hingga maut akan direman hari ini

 

MELAKA: Polis hari ini akan membuat permohonan reman ke atas pelajar lelaki 14 tahun yang disyaki mencekik adik kandungnya hingga maut di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, di sini, semalam.

Artikel berkaitan: Adik maut dipercayai dicekik abangnya

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, suspek dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, di sini, jam 10 pagi.

Beliau berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dari segenap aspek termasuk motif suspek bertindak mencekik adik lelakinya berumur sembilan tahun itu sehingga meninggal dunia,” katanya.

Media malam tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai dicekik oleh abang kandungnya di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, di sini, kira-kira 12 tengah hari semalam.

Difahamkan kejadian disedari ibu mereka selepas terlihat perbuatan suspek melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbitnya sebelum menghubungi jiran untuk membantu memeriksa keadaan anaknya.

Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di ruang tamu dengan kesan kecederaan di bahagian muka, hidung dan leher.

Siasatan polis mendapati semasa kejadian suspek hanya tingal berdua bersama adiknya itu manakala ibu bapanya keluar bekerja.

Dia adalah anak sulung daripada empat beradik dan disahkan tidak memiliki sebarang rekod disiplin sebelum ini.

Loading...
Terkini