comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar dikejar ke hospital selepas terdedah sisa merkuri di makmal 

FOTO: Ihsan Bomba

BALIK PULAU: Seorang pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sacred Heart, Jalan Besar di sini, hari ini dikejarkan ke hospital selepas terdedah kepada tumpahan sisa merkuri di bilik makmal.

Justeru pasukan bomba dipanggil bagi melakukan khidmat khas nyah cemar.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan pada 11.18 pagi.

Menurutnya, operasi berkenaan turut dibantu Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Bayan Baru.

“Sebaik tiba, terdapat termometer yang pecah di atas meja bilik makmal itu menyebabkan berlaku sedikit tumpahan merkuri.

“Tumpahan itu mengenai seorang pelajar lelaki dan dia sudah dibawa ke hospital oleh petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika pasukan penyelamat tiba,” katanya.

Mengulas lanjut Zaiful Arif berkata, anggota bomba melakukan pengungsian dan penilaian (size up) di kawasan bilik makmal itu.

Menurutnya, ia disusuli dengan kerja nyah cemar ‘decontamination’ sisa merkuri sebelum memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat.

“Kerja nyah cemar berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit dan operasi tamat pada 12.43 tengah hari.

“Walaupun tumpahan merkuri itu dalam kuantiti yang sedikit namun ia sangat berbahaya jika terdedah kepada manusia,” katanya lagi.

Difahamkan, terdapat guru yang di dalam makmal berkenaan ketika kejadian dan bilik terbabit bakal digunakan pelajar bagi menduduki peperiksaan pada minggu depan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini