comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar, guru sekolah menengah di Kota Bharu dijangkiti demam kepialu

Foto hiasan

KOTA BHARU: Sekumpulan guru dan pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, dijangkiti demam kepialu sejak dua minggu lalu.

Difahamkan, jangkitan itu mula dikesan beberapa hari sebelum Aidiladha sebelum merebak kepada lebih ramai pelajar dan guru.

Sehingga kini, sekumpulan pelajar terutama pelajar yang tinggal di asrama dan guru masih ditempatkan di Hospital Tumpat untuk kuarantin.

Seorang ibu kepada pelajar di sekolah berkenaan yang enggan dikenali berkata, jangkitan dipercayai bermula membabitkan pelajar asrama.

“Kemudiannya ia menular dan menjangkiti pelajar sekolah harian dan semakin bertambah teruk ketika ini.

“Sehingga sekarang ada guru dan pelajar masih dikuarantin di Hospital Tumpat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau turut difahamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan hadir ke sekolah esok untuk membuat ujian darah.

Seorang bapa kepada pelajar pula memaklumkan, sebelum ini lebih 30 pelajar di sekolah berkenaan mengalami keracunan makanan.

Justeru katanya, pihak sekolah perlu lebih berhati-hati selepas ini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkait kes berkenaan.

Katanya, kerja-kerja pengawalan, pengesanan dan rawatan berkait kes sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Dearah Kota Bharu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini